My Videos

Loading...

Wednesday, July 8, 2009

GUA.COM.MY



Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentukan ini, ramai penyanyi di luar sana yang tidak muncul dengan sebarang album. Masing-masing hanya berani muncul dengan single terbaru. Maklumlah, bukan sedikit wang yang diperlukan untuk pembikinan sesebuah album, boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Sudahlah begitu, album yang diterbitkan tidak tentu lagi boleh dijual. Lebih-lebih lagi dalam era teknologi sekarang ini, semua lagu boleh dimuat turun secara percuma.

Akan tetapi, berbeza pula dengan kes yang satu ini. Tanpa diduga, tiba-tiba dunia nyanyian diserikan dengan kehadiran orang baru yang tampil dengan album penuh. Shazroul Fazlie Zahari, itu nama pemilik suara dalam album itu. Ingin dikenali sebagai Shazroul, pendatang baru berusia 24 ini rupa-rupanya bukanlah budak mentah dalam dunia nyanyian.


Menurut Shazroul yang ditemui semasa majlis pelancaran albumnya baru-baru ini, dia telah mula melibatkan diri di dalam bidang nyanyian sejak berumur sembilan tahun lagi. Telah banyak pertandingan nyanyian yang disertai olehnya. Malah, pada tahun 2006, Shazroul telah memberanikan diri menghadiri ujibakat rancangan realiti Akademi Fantasia musim keempat. Bagaimanapun, Shazroul hanya berjaya ke peringkat ‘prelude’.

“Saya memang minat menyanyi dari kecil lagi. Sebab itu saya tidak pernah jemu menyertai pelbagai pertandingan nyanyian untuk memastikan suatu hari nanti saya berpeluang bergelar penyanyi. Keputusan saya mencuba nasib di Akademi Fantasia pada tahun 2006 telah membuka lembaran baru dalam hidup saya. Kekecewaan tidak dapat masuk ke peringkat akhir membuatkan saya terus berusaha sehingga terdorong mengambil kursus vokal selama enam bulan dengan penyanyi Hazami. Bermula daripada itu juga, saya banyak menerima undangan nyanyian untuk majlis makan makan malam atau korporat,” ujar Shazroul.

Setelah hampir tiga tahun berjuang, akhirnya tahun ini Shazroul hadir dengan album yang berjudul ‘Cuma Satu’. Album yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan ini menggabungkan lagu-lagu daripada komposer berpengalaman dan juga komposer baru.

Bercerita tentang album ini, Shazroul memberitahu yang dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusannya 2Ps In A Pod Sdn Bhd kerana percaya dengan bakat yang dimilikinya.

“Harapan saya sekarang ini ialah pendengar di luar sana boleh menerima kehadiran saya dan album ini akan mendapat sambutan. Bukan mudah untuk menerbitkan album ini. Banyak rintangan yang terpaksa saya lalui. Selain daripada sukar mendapatkan lagu daripada komposer tempatan, saya juga pernah ditipu oleh seorang komposer yang berjanji untuk menerbitkan album untuk saya. Tetapi akhirnya tidak menjadi walaupun saya telah selesai merakamkan tujuh buah lagu ketika itu,”cerita Shazroul yang percaya bakat nyanyiannya diwarisi daripada neneknya yang merupakan naib juara Bintang RTM pada tahun 1956.

Album ‘Cuma Satu’ menampilkan sembilan lagu baru termasuk satu lagu minus one. Lagu “Usah Sesali” dan “Cinta Luhur” adalah hasil karya Hazami sepenuhnya.

Manakala “Untuk Ku” telah digubah oleh komposer muda, Riza Omar atau lebih dikenali sebagai Abang di kalangan penggemar muzik alternatif. Lirik lagu tersebut ditulis oleh Mufizal Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Jai.

Lagu “Permata Dijiwa” pula adalah hasil karya Farhana Julia dengan lirik disumbangkan oleh Nurullah (Nurul AF2). Shahrul Ekamatra telah berbesar hati untuk membuat susunan muzik lagu tersebut. Lagu ini merupakan pengalaman pertama kepada ketiga-tiga individu tersebut di dalam bidang penulisan lagu, lirik dan susunan muzik.

Cat Farish telah membuka jalan kepada Shazroul untuk berduet dengan Farhana (bekas ahli kumpulan Fabulous Cats) di dalam lagu berjudul “Satu”. Lirik lagu ini ditulis oleh Adeep.

Ryan Kyoto, komposer terkenal dari negara jiran Indonesia, telah menyumbangkan tiga buah lagu untuk album sulung Shazroul ini iaitu “Selamanya”, “Cuma Satu” dan “Telah Terhenti”.

Buat masa ini album ini boleh dibeli secara online di www.2ps.com.my atau boleh berhubung terus dengan pihak pengurusan di talian 019-6060658 untuk urusan penghantaran secara terus.

Biodata Shazroul
NAMA : Shazroul Fazlie Zahari
NAMA KOMERSIAL: Shazroul
TARIKH LAHIR: 11 September 1985
ASAL: Kuala Lumpur
ZODIAK: Virgo
BANGSA: Melayu
AGAMA: Islam
TINGGI: 177 cm
BERAT: 59 kg
MAKANAN KEGEMARAN: Burger
MINUMAN KEGEMARAN: Milo
WARNA KEGEMARAN: Hitam dan Putih
HOBI: Melayari internet, bermain permainan video
MUZIK KEGEMARAN: Jazz, electronik dan klasik
PENYANYI KEGEMARAN: Josh Groban, Michael Buble. Hazami,Anuar Zain, Siti Nurhaliza, dan Ziana Zain
PELAKON KEGEMARAN: Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma, Angelina Jolie dan Orlando Bloom

1 comment:

  1. wow.. banyak nye lagu....
    u ckp 2 jew..
    huhuhu..

    btw... i order here ekk..
    memandangkan u nyew webbies x ciap lg...
    gimme update bout ur album dear...

    ~miss_cute @ Baby~

    ReplyDelete