Sunday, July 19, 2009

TREK SUZAN - BERITA MINGGU

Cuma Satu uji Shazroul

http://www.bharian.com.my/sisipan/bintangpopular/Sunday/Muzika/20090719114430/Article/index_html

SEMANGAT anak muda ini untuk bergelar penyanyi rakaman tidak sewajarnya dipandang sepi. Shazroul Fazlie Zahari, akhirnya muncul dengan 'cahaya mata' sulungnya Cuma Satu.

Bukan mudah perjalanan seni yang dilalui Shazroul sebelum tampil dengan album Cuma Satu. Pernah beberapa kali kecewa sejak mula menceburkan diri dalam dunia seni dan paling menonjol selepas sekadar terpilih ke peringkat konsert prelude Akademi Fantasia 4.

Begitupun, kesabaran anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini terus diuji apabila album yang hampir siap dirakam terpaksa dibatalkan. Siapapun akan hampir putus asa, namun itu tidak pernah melemahkan semangatnya, apatah lagi dengan sokongan dan dorongan seratus peratus keluarga dan sahabat handai.

Kini album Cuma Satu sudah mula beredar di pasaran, fasa seterusnya yang perlu dilalui oleh penyanyi baru ini adalah berhadapan dengan penerimaan pendengar terhadap Cuma Satu. Tidak dinafikan dari segi nyanyian, kedengaran cara lontaran dan persembahan vokal Shazroul didukung teknik nyanyian yang baik. Namun masih banyak ruang kosong untuk dibangunkan dan dimantapkan lagi. Mana tidaknya kalau guru vokal yang bertanggungjawab mendidik Shazroul adalah penyanyi, komposer dan penerbit Hazami sendiri.

Malah Usah Sesali dan Cinta Luhur adalah ciptaan sepenuhnya Hazami.

Cinta Luhur disampaikan seolah penyanyi opera.

Mungkin boleh penulis katakan melodi lagu seolah sebuah karya khusus diciptakan sebagai latar sebuah filem fantasi. Mood yang diberikan cukup menyenangkan, bahagia dan mengalun membuai perasaan. Lagu ini jadi lebih berat lagi dengan bantuan muzik program serta suara latar yang mantap.

Entah mengapa penulis layan dengan lagu Untukku ciptaan Riza Omar. Kelainan serta kesederhanaan dari segi melodi lagu ditambah gaya Shazroul menyempurnakan lagu ini menjadikan ia menarik. Mungkin juga ini adalah lagu yang paling minimal penggunaan vokal vibrator dan ia kedengaran menyenangkan. Kata orang kalau melampau sangat pun tidak berguna juga, sederhana lebih baik. Permata Di Jiwa pula membawa imaginasi pendengar merentas benua dan singgah di bumi Sepanyol. Vokal Shazroul memang sesuai bawa lagu begini.

Mungkin sebagai cubaan pertama, Cuma Satu memenuhi idea album rakaman yang diidamkan orang baru sepertinya.

Cuma mungkin dalam halhal tertentu seperti teknik vokal misalnya, Shazroul perlu tahu bila untuk beri lebih dan bila untuk beri sedikit.



No comments:

Post a Comment